Hampir 13 tahun menjalani hidup sendirian tanpa kehadiran sosok lelaki bergelar suami, hati empunya nama Siti Nordiana Alias, 38, masih belum terisi sehingga kini.
Bukan trauma atas kegagalan episod perkahwinan lalu, sebaliknya kesibukan pada kerjaya nyanyian membuatkan wanita berasal dari tanah adat, Negeri Sembilan itu ‘terpaksa’ mengenepikan soal hati buat seketika.
Mustahil sepanjang tempoh bersendirian, tiada langsung jejaka yang cuba mendekati, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana hanya membalas soalan diajukan dengan ketawa kecil.
Sudah lali persoalan jodoh, Nana yang bakal melangkah ke usia 40-an dalam tempoh dua tahun lagi mengakui, dia tidak pernah meletakkan sasaran bila akan menamatkan zaman solo.
“Saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran perlu menamatkan zaman solo pada umur tertentu. Insya-Allah, seandainya sudah tiba jodoh, saya sendiri akan berkongsi.
“Bagaimanapun, buat masa ini, saya masih belum terfikir mahu mencari pasangan hidup. Andai tiba jodoh, saya tidak akan merahsiakannya.
“Sebaliknya, saya akan berkongsi perkahwinan perlu diuar-uarkan bagi mengelakkan fitnah,” ujar penyanyi yang pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Allahyarham Mohd Faizal Yusup pada 2006.
Namun, bahtera rumah tangga dilayari Nana bersama Faizal tidak bertahan lama apabila mereka akhirnya berpisah selepas tiga tahun berkongsi hidup.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Hanya Sandaran itu berkata, terlalu banyak perkara ingin dikecapi selepas mendapat ‘peluang kedua’ dalam kerjaya sejurus diangkat sebagai juara program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim kedua.
Sejak itu, ujar Nana, dia enggan menoleh ke belakang, sebaliknya, mahu terus fokus lantaran enggan mensia-siakan peluang yang terbentang depan mata.
Apatah lagi, katanya, dialah ibu dan ayah kepada satu-satunya zuriat, Muhammad Rayyan Nakhaie, 14.
“Selepas kemenangan dalam GV hampir enam tahun lalu, saya akui rezeki dalam bidang nyanyian kembali menyerlah. Jadi, saya perlukan masa untuk menyesuaikan dengan keadaan ini.
“Banyak yang mahu saya kejar selepas diberikan peluang kedua. Lagipun, saya membesarkan Rayyan sendirian, saya juga menanggung keluarga dan memiliki pekerja yang perlu dijaga kebajikan.
“Buat masa ini, saya hanya ingin fokus kepada kerjaya terlebih dahulu. Kumpul aset dan capai apa yang tidak pernah dikecapi, selama ini, sebelum membuat keputusan berkahwin,” kata Nana.
Mengulas kemungkinan perasaan anak turut mempengaruhi keputusan Nana memilih pasangan hidup. Barangkali, Rayyan belum bersedia menerima ‘bapa baharu’ dalam hidup, memandangkan sudah terbiasa hidup berdua bersama ibunya sejak kecil.
Pelakon drama Dia Semanis Honey dan Satukan Rasa itu mengakui, keselesaan dan perasaan anak kesayangannya itu tetap menjadi keutamaan.
Bagaimanapun, katanya, Rayyan tidak kisah dengan kehidupan peribadi ibunya.
“Sudah tentu sebagai ibu, perasaan anak menjadi keutamaan. Saya amat mementingkan anak dalam segala hal, termasuklah
keselesaannya.
“Rayyan tidak kisah sekiranya saya mahu kembali berumahtangga. Cuma, saya perlukan masa untuk ‘settle down’, bukan disebabkan Rayyan, trauma atau sebagainya.
“Insya-Allah, saya tidak akan berahsia, saya juga bukanlah orang yang begitu jika betul-betul sudah yakin,” katanya.
Sumber : f-uh
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.